Translate

Sunday, September 13, 2020

Pusat Internet Malaysia bantu peniaga tambah pendapatan

 

MARANG - Seorang peniaga warung di kawasan pendalaman di sini berjaya meningkatkan pendapatan sehingga sepuluh kali ganda selepas mendapat latihan dari Pusat Internet Malaysia.

Murniwati Abdul Latiff, 38, berkata, dia belajar kemahiran komputer dan Internet untuk mempromosi perniagaan menerusi media sosial secara percuma di Pusat Internet Malaysia Desa Permai di sini kendalian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak dua tahun lalu.

"Saya belajar teknik promosi berkesan di media sosial, mengambil gambar produk menarik, asas perakaunan dan keusahawanan.

"Hasilnya warung saya semakin dikenali hingga di luar daerah (Marang) dan menerima ramai pelanggan-pelanggan baru sekali gus mengembangkan lagi perniagaan," katanya ketika ditemui di warungnya di Taman Desa Permai di sini semalam.

Murniwati berniaga minuman dan juadah ringan bergoreng seperti pisang goreng, keropok lekor dan cendol sejak lapan tahun lalu.

Beliau berkata, pendapatan harian di warungnya telah meningkat sehingga RM800 berbanding purata RM80 sehari sebelum ini selepas  mengaplikasi kemahiran dipelajarinya di Pusat Internet Malaysia Desa Permai.

"Ramai tertarik apabila saya memuat naik minuman unik yang dijual di gerai saya seperti Cappuccino Cincau, Coklat Goncang, Kelapa Goncang, Cendol Pulut Mangga di akaun laman Facebook saya lalu berkunjung ke warung.

"Kemahiran mempromosi perniagaan menerusi media sosial yang dipelajari di Pusat Internet Malaysia juga membolehkan saya terus berniaga semasa fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara khidmat penghantaran," katanya.

Murniwati berkata, walaupun warungnya terpaksa ditutup atas arahan kerajaan pada masa itu, beliau dan suami tetap tidak menang tangan menerima tempahan kuih dan minuman dengan pendapatan sehingga RM600 sehari.

Sementara itu Pengarah SKMM Terengganu, Mohd. Fairus Muhamad berkata, setakat ini, pihaknya memberi latihan keusahawanan dan kemahiran komputer dan Internet kepada 9,300 usahawan tradisional seluruh Terengganu sejak tahun 2004.

"Latihan percuma yang ditawarkan di 64 Pusat Internet Malaysia di seluruh Terengganu ini bertujuan untuk membantu mereka meningkatkan pendapatan masing-masing," katanya.

Pusat Internet Malaysia merupakan inisiatif SKMM meningkatkan usahawan tempatan menjalankan perniagaan secara online.


No comments:

Post a Comment