Translate

Tuesday, September 22, 2020

Syukur lega tiada lagi kerbau mati akibat hawar berdarah

 

KUALA TERENGGANU - Hati Muhammad Syukur Khamis, 15, yang dikenali sebagai 'Mogwli Malaysia' semakin lega selepas tiada lagi kerbau peliharaan bapanya disebabkan penyakit Heamoragic Septicaemia atau hawar berdarah sejak Sabtu lalu.

Dia berkata, setakat ini, sebanyak 56 kerbau ternakan bapanya, Khamis Jusoh, 64, termasuk dua kesayangannya iaitu Semek dan Tokol mati bergelimpangan di dalam kandang berpunca daripada wabak berkenaan.

"Suntikan antibiotik yang dilakukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu pada Khamis lalu telah meningkatkan daya tahan tubuh kebanyakan kerbau ayah yang masih tinggal.

"Kehilangan banyak 'rakan baik' (kerbau) pengalaman paling perit tetapi tidak sesekali  membuatkan saya putus asa untuk menjadi penternak yang berjaya suatu nanti nanti," katanya kepada Kosmo! di Kampung Kubang Bujuk di sini semalam.

Terdahulu dia ditemui selepas menyaksikan baki kerbau bapanya yang masih tinggal dimandikan dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Ahmad Khairi Mamat berkata, pihaknya melakukan khidmat khas memandikan kerbau-kerbau Khamis tersebut dengan menggunakan 3,600 liter air dari tangki jentera bomba.

Beliau berkata, semburan air menggunakan pili bomba itu bertujuan untuk menyejukkan badan kerbau bagi menyihatkan badan haiwan berkenaan yang baru menerima vaksin daripada JPV Terengganu.

"Kita mengambil masa setengah jam bermula pukul 9.30 pagi untuk melakukan khidmat khas ini," katanya.

Dalam pada itu, abang Muhammad Syukur, Muhamad Alias, 30, berkata,  sejak terpaksa dikuarantin di dalam kandang pada minggu lalu, kami ambil inisiatif memandikan setiap kerbau itu dengan mengangkut air menggunakan lori. 

Kosmo! 15 September lalu melaporkan hati Muhammad Syukur luluh menyaksikan 56 kerbau peliharaan bapanya mati bergelimpangan di dalam kandang disebabkan wabak hawar berdarah.

No comments:

Post a Comment