BESUT - Bagai jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib Mohd. Lukman Mahmood, 51, yang bukan sahaja kehilangan pekerjaan malah kini dilantar akibat angin ahmar sejak empat bulan lalu.
Sebelum ini, kontrak pekerjaan dia sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan bulanan RM1,200 ditamatkan oleh majikannya kira-kira sebulan selepas terkena serangan jantung pada Januari 2018.
Isterinya, Wan Rabiah Wan Muda, 55, berkata, sejak itu, mereka suami isteri hilang punca pendapatan sebelum Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan bantuan RM250 sebulan baru-baru ini.
"Suami saya tidak dapat bekerja atas faktor kesihatan akibat serangan jantung dan dia semakin uzur apabila mendapat angin ahmar pada empat bulan lalu.
"Dia memerlukan penjagaan rapi dan kami bergantung hidup dengan bantuan bulanan JKM dan sumbangan anak-anak yang turut berpendapatan rendah," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Pengkalan Kubur, Tembila dekat sini.
Keluarga malang ini menerima kunjungan daripada Penyelaras Yayasan Kebajikan Nasional (YKN) Terengganu, Norma Mamat yang menghulurkan bantuan barangan keperluan semalam.
YKN akan membantu Wan Rabiah membuat permohonan tambahan kepada JKM pada masa terdekat.
Jelas Norma, terdapat elaun bulanan yang boleh dipohon Wan Rabiah untuk menjaga suaminya.
Selain itu, Wan Rabiah buntu untuk membiayai kos perubatan suaminya yang dianggarkan RM500 sebulan.
Tambahnya, Mohd. Lukman perlu menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Besut di sini pada setiap dua minggu selain perlu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi pemeriksaan jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.
Orang ramai yang bersimpati dengan nasib Mohd. Lukman boleh menghulurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasionalnya 1111029000403280 atau menghubungi Wan Rabiah di talian 0139137630.
No comments:
Post a Comment