Translate

Wednesday, September 30, 2020

Baucar pelancongan melalui e-Dompet mulai 1 Oktober ini

 KUALA TERENGGANU - Sebanyak 10,000 baucar subsidi pelancongan Selangor boleh didapati menerusi platform perkhidmatan e-Dompet terpilih mulai 1 Oktober ini.

Pengarah Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, baucar yang bernilai RM200 setiap satu tersebut boleh ditebus untuk kegunaaan di hotel dan inap desa berlesen serta taman tema di seluruh Selangor.

"Pemberian baucar berkenaan yang bernilai keseluruhan RM2 juta itu diluluskan kerajaan negeri Selangor baru-baru ini untuk merancakkan semula industri pelancongan yang telah terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Ia boleh didapati di platform perkhidmatan e-Dompet terpilih selepas majlis perasmian Kempen 'Pusing Selangor Dulu' pada 1 Oktober depan," katanya ketika ditemui pada program Jelajah Persona Selangor ke Terengganu di sini semalam.

Azrul Shah berkata, Tourism Selangor berharap baucar subsidi tersebut dapat membantu sasaran kedatangan enam juta pelancong ke negeri tersebut pada tahun ini.

Menurut beliau, setakat ini 70 peratus atau 4.2 juta daripada sasaran kedatangan tersebut telah dicapai.

"Tourism Selangor kini giat mempromosikan segmen pelancongan-eko seperti Sky Mirror (Cermin Langit) di Kuala Selangor dan aktiviti rekreasi alam semulajadi yang ditawarkan di daerah Hulu Selangor, Ampang Jaya, Kuala Selangor dan Sepang.

"Selain itu, segmen pelancongan urban yang sudah sedia kukuh seperti taman  tema, Sunway Lagoon dan pusat membeli-belah, Sunway Pyramid tetap ditonjolkan," katanya.

Ujarnya, selepas berkunjung ke Terengganu sebagai lokasi sulung, program Jelajah Persona Selangor akan berkunjung ke Pulau Pinang untuk mempromosi lokasi-lokasi pelancongan menarik di negeri berkenaan.

"Tourism Selangor juga telah memasang papan tanda di lima kawasan strategik di seluruh negara sebagai inisiatif menarik  minat lebih ramai pelancong domestik datang ke negeri itu," katanya.


No comments:

Post a Comment