Translate

Wednesday, September 23, 2020

Tiga peniaga didenda RM19,500

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM19,500 kepada tiga peniaga yang menjual pakaian tiruan berjenama di Dungun pada Ahad lalu.

Hakim Nooriah Osman memutuskan demikian selepas ketiga-tiga tertuduh iaitu Sa’ari Ahmad, 35, Mohd. Nursalam Nordin, 26, dan Mohd. Syahlan Mohd. Shafie, 30, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapkan kepada mereka.

Nooriah memerintahkan Sa'ari dan Mohd. Nursalam membayar denda RM8,000 manakala Mohd. Syahlan pula dikenakan denda RM3,500.

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Sa'ari didakwa memiliki dengan tujuan menjual 400 helai seluar trek dan 46 helai baju T pelbagai saiz jenama Adidas tiruan, 90 helai seluar trek dan 30 helai baju T pelbagai saiz jenama Puma tiruan.

Mohd. Nursalam pula didakwa memiliki 312 seluar sukan jenama Adidas tiruan dan 239 helai seluar sukan jenama Puma tiruan.

Mohd. Syahlan didakwa memiliki 56 helai seluar sukan jenama Puma tiruan pelbagai saiz, 25 helai seluar sukan jenama Adidas tiruan pelbagai saiz dan 26 helai seluar jeans jenama Levis tiruan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tiga premis berasingan di Jalan Bukit Besi, Kampung Che Lijah, Dungun antara pukul 9.15 pagi hingga 9.20 pagi, 6 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019  yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM 10,000 bagi setiap barangan dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Hishamuddin Rosnan.

No comments:

Post a Comment