Translate

Thursday, September 24, 2020

Duit RM20,000 hasil bisnes hangus

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Malang buat seorang peniaga apabila bukan sahaja rumahnya hangus malah duit RM20,000 yang disimpan hasil perniagaan kedai kopi terbakasr dalam kejadaian di Kampung Losong Haji Awang di sini semalam.

Kebakaran membabitkan tiga buah rumah pada pukul 7.20 pagi itu berlaku ketika Shafie Sulung, 74, sedang berniaga sebelum dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anak bongsunya, Muhammad Zaki, 28.

Jarak antara rumah dengan kedai kopi itu kira-kira 100 meter.

Turut hangus rumah milik sepupunya, Sulong Abu Bakar, 68, dan sebuah lagi rumah yang tidak berpenghuni.

Lebih mencemaskan, ketiak kejadian, Sulong yang berada di dalam rumah nyaris terperangkap sebelum diselamatkan anak saudaranya, Nur Athirah Rabi, 22.

Menceritakan kejadian itu, Shafie berkata, dia terkejut apabila Muhammad Zaki berlari ke kedai kopinya untuk memaklumkan mengenai kebakaran itu.

"Saya keluar rumah untuk membuka kedai kopi pada pukul 7.15 pagi. Pada waktu itu, rumah di tinggal dengan baik manakala Muhammad Zaki sedang tidur di dalam bilik.

"Sedar-sedar 15 minit kemudian, dia berlari memaklumkan rumah sedang terbakar. Semua barangan berharga dan peribadi gagal diselamatkan termasuk dua motosikal Honda EX5 dan wang tunai RM20,000 yang dikumpul sejak 10 tahun berniaga," katanya ketika ditemui Kosmo! du sini semalam.

Sementara itu, Nur Athirah menceritakan, dia terus berlari menyelamatkan ibu saudaranya sebaik melihat kepulan asap di rumah Shafie.

"Saya risau perkara tidak baik terjadi kepada ibu saudara saya yang sedikit uzur lagi pun dia tinggal berseorangan setelah anak dan keluarganya pergi bercuti ke Cameron Highlands, Pahang malam tadi (kelmarin).

"Tidak sampai lima minit selepas saya memimpin ibu saudara saya itu keluar dari rumah, kebakaran semakin marak dan memusnahkan bahagian atas rumahnya," katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, empat jentera bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 7.49 pagi.

Beliau berkata, kebakaran dipercayai bermula dari rumah Shafie yang musnah 100  peratus sebelum merebak ke dua rumah berhampiran lain di sebelah kanannya.

"Dua rumah lain mengalami kerosakan 20 peratus (rumah Sulong) dan 10 peratus. Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.58 pagi. 

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.

No comments:

Post a Comment