Translate

Thursday, September 10, 2020

Tangkis ajaran liberalisme

Oleh SHARKAWI LONDING dan MOHD. AZLI ADLAN

JOHOR BAHRU - Penyebaran ajaran liberalisme dan pluralisme di negara ini khususnya di Johor dapat ditangkis sekiranya semua pihak berganding bahu merencanakan strategik dakwah dengan berkesan.

Tokoh Maal Hijrah Negeri Johor, Datuk Mohd. Shahir Samsudin berkata, dakwah perlu dijalankan sepanjang masa dan tugas itu tidak terhenti dan perlu diteruskan bagi menangani kedua-dua ajaran tersebut.

"Dakwah yang dimainkan oleh semua pihak mampu menangani penyebaran kedua-dua ajaran itu.

"Saya akan meneruskan khidmat masyarakat dari segi penyampaian ilmu dan pertubuhan Islam. Usaha berdakwah tidak akan terhenti selagi mampu," katanya selepas majlis sambutan Maal Hijrah 1442H peringkat Negeri Johor di Pusat Iskandar Johor di sini semalam.

Mohd. Tahrir diumumkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Johor menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan dan hadiah iringan bernilai RM2,000 disampaikan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Katanya, usaha untuk memartabatkan syiar Islam di Johor tidak pernah hilang walaupun sudah dua tahun bersara daripada kerajaan.

"Insya-Allah saya akan teruskan kerja-kerja dakwah ini sehingga ke akhir hayat," katanya.

Sementara itu di Terengganu, Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail, 65, dinobat sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu yang membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej mengerjakan ibadah umrah, persalinnan, sijil penghargaan dan plak.

Anugerah disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pemilihan bapa kepada sembilan anak itu berdasarkan sumbangan beliau dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan hingga ke peringkat antarabangsa menerusi penglibatan dalam beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Antara penglibatan Hussin dalam kegiatan NGO ialah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Marawi, Sektretariat Dakwah Rantau Asia Tenggara dan mengasaskan Akademik al-Quran Amalilah.

"Saya tidak anggap anugerah (Tokoh Maal Hijrah peringkat Terengganu) ini milik peribadi semata-mata tetapi didedikasikan kepada pasukan sukarelawan yang saya anggotai sejak di bangku sekolah.

"Saya ambil kesempatan ini untuk menyeru semua orang Islam tanpa mengira usia untuk berlumba-lumba kerja-kerja amal dan kebajikan kerana ia merupakan suruhan Allah," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dalam pada itu, Imam Masjid Kampung Bukit Kadis, Mohamad Ghani dinobat sebagai Tokoh Imam Cemerlang manakala Tokoh Bilah Cemerlang pulang dianugerahkan kepada Bilal Masjid Kampung Kubang Bujuk, Abdul Rahman Ishak.


No comments:

Post a Comment