Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Bakar kertas sebelum campak ke timbunan kain.
Itu antara tindakan dilakukan seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) yang mengaku membakar rumah neneknya selepas mendakwa menerima arahan daripada arwah ibu dalam kejadian di Kampung Gong Tok Nasek di sini kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 8 malam itu berlaku ketika remaja lelaki berusia 14 tahun yang mengalami masalah hiperaktif tinggal bersendirian di rumah manakala bapa dan neneknya keluar ke rumah saudara.
Nenek saudaranya, Juriah Salleh, 64, yang tinggal berhampiran berkata, remaja itu berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dan berdiri di depan rumah sambil menangis.
"Dia mengaku membakar rumah tersebut setelah menerima arahan daripada arwah ibunya yang sudah meninggal dunia pada dua tahun lalu.
"Remaja itu juga ada menceritakan bagaimana dia menghidupkan api sehingga mencetuskan kebakaran di rumah tersebut," katanya di sini semalam.
Menurut beliau, cucu saudaranya itu telah menghidupkan api dengan sebatang mancis sebelum menyalakan lilin dan membakar sehelai kertas.
"Dia kemudiannya mencampakkan kertas yang terbakar itu pada timbunan kain menyebabkan api merebak ke seluruh rumah," katanya.
Tambah beliau, remaja itu mengalami masalah kemurungan sejak kehilangan ibu yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru.
"Sehingga kini, dia masih menerima rawatan daripada hospital. Dia memang agresif sejak kecil dan pernah cuba membakar rumah sama ketika berusia 10 tahun tetapi berjaya dipadamkan ahli keluarga," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pasukannya yang tiba di lokasi kejadian mendaopati rumah kayu berkenaan telah musnah terbakar 100 peratus.
"Seorang penghuni rumah berkenaan yang merupakan remaja lelaki berusia 14 tahun berjaya menyelamatkan diri.
"Anggota bomba mengambil masa hampir 25 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain. Jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
No comments:
Post a Comment