Translate

Monday, September 21, 2020

Hanya tinggal 20 pengayuh beca

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan mengambil langkah bagi merancakkan semula aktiviti pengayuh beca tradisional di bandar raya ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya sedar perkhidmatan beca tradisional di bandar raya ini semakin suram tidak seiring dengan kehadiran pelancong yang sangat tinggi pada masa ini.

Beliau berkata, pengayuh beca di bandar raya ini yang masih aktif juga dianggarkan tidak sampai 20 orang dengan kesemuanya sudah berusia 60 tahun ke atas.

"Beca tradisional di Terengganu sangat unik dan sepatutnya menjadi tarikan pelancongan yang utama.

"Langkah perlu diambil untuk merancakkan kembali aktiviti berbeca dan menarik golongan muda menyertainya. Jika tidak, kita bimbang ia akan pupus tidak lama lagi," katanya ketika ditemui selepas sumbangan pakaian seragam kepada pengayuh beca berkenaan di Pasar Kedai Payang di sini semalam.

Pakaian seragam tajaan pengusaha-pengusaha hotel di sekitar bandar raya ini hasil inisiatif Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) itu bertujuan untuk meningkatkan motivasi pengayuh beca tradisional berkenaan.

Ariffin berkata, antara langkah yang akan diambil ialah menyediakan laluan khas bagi pengayuh beca berkenaan untuk menarik lebih ramai pelanggan dalam kalangan  pelancong. 

Jelas beliau, antara lokasi yang dicadangkan ialah mengelilingi Taman Tamadun Islam dan pakej untuk ke hotel-hotel yang terletak berhampiran dengan Pasar Kedai Payang di sini.

"Kita juga bercadang untuk memperkenalkan beca elektrik bagi menarik penyertaan pengayuh beca dalam kalangan golongan muda.

"Dulu kita pernah cuba untuk menampilkan penggunaan beca elektrik dalam kalangan pengayuh beca sedia ada tetapi mereka yang sudah berusia tidak memberi sambutan baik dengan alasan tidak mahir dan terbiasa dengan beca  tradisional," katanya.

No comments:

Post a Comment