Translate

Wednesday, September 9, 2020

Selekoh ragut nyawa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU -  Selekoh tajam yang terdapat di Kilometer 43, Jalan Kota Bahru - Kuala Terengganu berhampiran Sungai Tong dekat sini dianggap sebagai jalan maut kerana telah mencatatkan ratusan kemalangan sejak 20 tahun lalu.

Dalam tempoh sama, lebih 30 nyawa telah melayang akibat kemalangan jalan raya di laluan berkenaan termasuk terbaharu, melibatkan seorang guru yang memandu kereta, Perodua Myvi pada 3 Ogos lalu.

Seorang penduduk, Mohd. Shafie Mohd Noor, 55, berkata, kebanyakan kemalangan berlaku selepas kenderaan mangsa-mangsa hilang kawalan apabila melalui selekoh tajam berkenaan sebelum terbabas lalu merempuh pembahagi jalan atau rumah penduduk berhampiran.

"Keadaan makin bahaya pada waktu hujan ekoran jalan licin selain struktur jalan di selekoh berkenaan juga di dapati tidak rata dan beralun.

"Anak saya sendiri pernah terlibat dalam kemalangan di lokasi ini pada tahun 2010, mujur dia terselamat namun kenderaan dipandunya rosak teruk hingga tidak dapat diperbaiki lagi," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Ramli Ismail, 63, pula berkata, keluarganya telah menyaksikan ratusan kemalangan sejak jalan persekutuan itu di naik taraf kepada empat laluan pada awal tahun 2000-an  memandangkan rumahnya yang terletak betul-betul di persimpangan selekoh tajam terbabit.

"Bulan ini sahaja empat kemalangan telah berlaku di lokasi ini. Rumah saya juga telah dirempuh tiga kali oleh kenderaan yang terbabas termasuk kali terakhir pada 10 tahun lalu.

"Selain menanggung kerugian puluhan ribu ringgit kerana perlu membaiki kerosakan rumah, kami sekeluarga juga sentiasa berada dalam keadaan ketakutan kerana bimbangkan keselamatan diri," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sungai Tong, Abu Bakar Ismail berkata, pelbagai langkah pencegahan telah diambil Jabatan Kerja Raya termasuk memasang kon keselamatan, penghadang batu dan turapan anti gelincir namun kadar kemalangan di lokasi itu masih gagal dikurangkan.

No comments:

Post a Comment