Translate

Thursday, September 10, 2020

Ramai pelancong ke Pantai Timur

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kelonggaran merentas negeri yang diumumkan kerajaan sebelum ini ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyaksikan peningkatan lebih 100 peratus kehadiran pelancong domestik di tiga negeri di Pantai Timur.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin berkata, Terengganu menerima kenaikan pelancong tertinggi iaitu 165 peratus diikuti Kelantan (135 peratus) dan Pahang (114 peratus).

Beliau berkata, limpahan pelancong ke Pantai Timur ini sudah dijangka berdasarkan kajian pelancongan domestik yang dijalankan Tourism Malaysia pada bulan April lalu.

"Lebih 72 peratus daripada 13,797 responden kajian itu memberitahu mereka mahu melancong ke destinasi pulau, pantai dan premis makanan menarik di seluruh negara sekiranya dibenarkan merentas negeri.

"Hampir 68 peratus respoden pula memilih destinasi yang berbaloi dengan perbelanjaan. Semua itu ditawarkan di ketiga-tiga negeri di Pantai Timur," katanya di di sini semalam.

Terdahulu beliau melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) normal baharu di Sari Pacifica Resort, Pulau Redang.

Hafiz berkata, selain rangkaian pulau peranginan di Terengganu dan Pahang. antara destasi pelancongan lain yang popular di Pantai Timur ialah Ladang Boh Sungai Palas, Cameron Highlands, Pahang dengan kehadiran 124,125 pengunjung sepanjang tempoh  PKPP sehingga akhir bulan Ogos lalu.

Beliau memberitahu, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pula menerima kedatangan pelancong sebanyak 77,701 orang bagi tempoh sama selain Tasik Kenyir, Hulu Terengganu (38,302), Zoo Mini Kemaman (26,567), Pasar Terapung Pulau Suri, Tumpat, Kelantan (14,900) dan

Jambatan Angkat Kuala Terengganu (11,324).

"Pemantauan setakat ini mendapati rata-rata pengusaha sektor pelancongan di Pantai Timur mengikut SOP normal baharu yang ditetapkan bagi menangani pandemik Covid-19.

"Kita juga tidak menerima sebarang rungutan daripada pelancong tentang pelanggaran SOP berkenaan," katanya.


No comments:

Post a Comment