KEMAMAN - Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas tidak pulang dari kebunnya di Pasir Manggang, Kampung Pasir Gajah dekat sini kelmarin.
Anak sulungnya, Kamrudin Othman, 59, berkata, ayahnya, Othman Daud, 79, telah keluar dari rumah mereka untuk ke kebun pada pukul 7.30 pagi.
Dia berkata, kebun tersebut agak jauh di pendalaman dan bapanya perlu berbasikal sebelum menaiki perahu menyeberang sungai dalam tempoh kira-kira 50 minit sebelum tiba ke kebunnya.
"Itulah rutin ayah saya setiap hari sejak 39 tahun lalu. Biasanya beliau akan selesai berkebun dan tiba di rumah pada pukul 2.30 petang namun semalam (kelmarin) tidak pulang-pulang lagi walaupun sudah pukul 4.30 petang.
"Saya dan adik yang telah cuba mencari ayah di kebun masing-masing menggunakan jalan sungai dan darat namun bukan sahaja kelibat beliau malah perahunya juga tidak dijumpai," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Kamrudin berkata, dia hanya menemui basikal milik ayahnya di pengkalan sungai sebelum melaporkan kehilangan tersebut kepada pihak polis di Balai Polis Pasir Gajah dekat sini kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pasukan mencari dan menyelamat yang dianggotai 73 orang telah ditubuhkan untuk menjejak Othman bermula pukul 9 malam kelmarin.
Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan sementara pada pukul 1.59 malam disebabkan cuaca hujan dan gelap.
"Operasi disambung semula pada pukul 8 pagi tadi (semalam).
"Lokasi pencarian telah diperluas sejauh lima kilometer di sekitar kawasan kebun warga emas itu hingga ke susur Sungai Kemaman berhampiran Pasir Manggang dekat sini," ujarnya.
Katanya, setakat pukul 6 petang, lelaki itu masih belum ditemui.
No comments:
Post a Comment