Translate

Wednesday, September 9, 2020

MBKT bakal rugi RM4 juta setahun

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Keputusan menswastakan sistem pengurusan tempat meletak kenderaan di bandar raya ini sejak sebulan lalu bakal merugikan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN-Kijal) berkata, melalui penswastaan itu, MBKT hanya akan menerima RM975,000 setahun daripada syarikat pengurusan baharu sistem meletak kenderaan berkenaan berbanding sekurang-kurangnya RM4 juta sebelum ini.

Beliau berkata, kekurangan pendapatan itu akan memberi kesan besar kepada kewangan MBKT yang tidak begitu kukuh pada masa ini apa tah lagi caj meletak kenderaan merupakan antara hasil utama pihak berkuasa tempatan berkenaan.

"MBKT secara efisien berjaya mengutip RM4 juta daripada caj meletak kenderaan pada 2015 dan saya rasa kutipan pada masa ini jauh lebih besar berikutan peningkatan jumlah kenderaan. 

"Banyak mesin yang terdapat di tempat letak kenderaan mengalami kerosakan dan ini menyebabkan bebanan kos yang perlu ditanggung.

"Selain itu, isu pengurusan berhubung sistem tempat letak kereta juga perlu dipertingkat," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau mengemukakan soalan lisan berhubung isu berkenaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak pada Persidangan DUN Terengganu ke-14.

Dalam pada itu Alias (Pas-Bukit Tunggal) berkata, keputusan menyerahkan pengurusan 6,000 tempat letak kereta di bandar raya ini kepada syarikat swasta dilakukan selepas PBT itu tidak mampu lagi menanggung kerugian sejak tahun 2016 termasuk hampir RM1 juta pada tahun lalu.

"Kita memerlukan pengurusan sistem meletak kenderaan yang lebih cekap di bandar raya ini. Berdasarkan perjanjian, MBKT bukan sahaja tidak lagi menanggung sebarang kos operasi malah bakal menerima hasil RM110,000 sebulan daripada syarikat pengurusan baharu.

"Kos pembaikan dan pemasangan mesin pembayaran juga akan ditanggung sepenuhnya oleh Vista Summerose Sdn. Bhd. yang berpengalaman dalam pengurusan meletak kenderaan di Kota Bahru, Kelantan dan Kuala Lumpur," katanya.

No comments:

Post a Comment