Translate

Sunday, September 20, 2020

Syukur berduka, Semek pergi jua

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Air mata Muhammad Syukur Khamis, 15,  yang dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' terus tumpah apabila sembilan lagi kerbau peliharaan keluarganyanya mati akibat wabak hawar berdarah semalam.

Lebih memeritkan, antara haiwan ternakan bapanya, Khamis Jusoh, 64 yang mati itu adalah antara kerbau kesayangannya, Semek. 

"Kebimbangan saya sejak seminggu lalu akhirnya menjadi kenyataan.

"Kini hanya tinggal (kerbau kesayangan) Along dan Tokol," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Semek yang bunting tujuh bulan pernah digunakan dalam penggambaran telemovie Budok Kuba baru-baru ini.

Menurut remaja berusia 15 tahun itu, sebanyak 50 ekor kerbau milik bapanya, Khamis Jusoh, 64, mati akibat wabak berkenaan setakat semalam.

Katanya, ayahnya terut bersedih dengan kehilangan ternakan tersebut termasuk dua induk yang baru melahirkan anak.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu berkata, sebahagian kerbau peliharaan bapanya yang masih hidup turut menunjukkan simptom wabak hawar berdarah seperti kemurungan dan hidung berair.

Sementara itu, abang Muhammad Syukur, Muhammad Alias, 30, berkata, dia telah meminta bapanya, Khamis yang mengalami kepenatan fizikal dan mental supaya berehat di rumah sahaja mulai semalam.

"Ayah (Khamis) tidak cukup tidur menghabiskan masa seharian di kandang kerbau kami sejak 9 September lalu.

"Hari ini (semalam) saya minta dia berehat di rumah sahaja, biar kami lapan beradik pula yang menguruskan urusan penanaman kerbau sudah mati," katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar menasihatkan orang ramai supaya tidak panik kerana hawar berdarah tidak menjangkiti manusia.

Kebiasaannya penyakit itu menyerang lembu atau kerbau dan boleh menyebabkan kematian dalam jangka masa lapan hingga 24 jam selepas dijangkiti.

"Penyakit itu merupakan penyakit akut pasteurellosis yang disebabkan oleh bakteria Pasteurella Multocida (p. multocida) Carter's Type B. Ia kerap menyerang ternakan pada musim hujan," katanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan hati Muhammad Syukur luluh menyaksikan 36 kerbau peliharaan bapanya mati bergelimpangan di dalam kandang disebabkan wabak hawar berdarah.

Muhammad Syukur mula terkenal sejak awal tahun lalu  apabila gambar selepas gambarnya bermesra dengan sekumpulan kerbau sering memenangi anugerah fotografi antarabangsa termasuk yang terbaharu Imej Asia 2020 bagi kategori Orang/Jalanan oleh Asian Geographic pada bulan lalu.


No comments:

Post a Comment