Translate

Tuesday, September 29, 2020

Baucer pelancongan Selangor di perkhidmatan e-Dompet

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

 KUALA TERENGGANU – Sebanyak 10,000 baucar subsidi pelancongan Selangor boleh didapati menerusi platform perkhidmatan e-Dompet terpilih mulai 1 Oktober ini.

Pengarah Besar Lembaga Penggalakkan Pelancongan Selangor (Tourism Selangor), Azrul Shah Mohamad berkata, baucar yang bernilai RM200 setiap satu tersebut boleh ditebus untuk kegunaaan di hotel dan inap desa berlesen serta taman tema di seluruh Selangor.

“Pemberian baucar berkenaan yang bernilai keseluruhan RM2 juta itu diluluskan kerajaan negeri Selangor baru-baru ini untuk merancakkan semula industri pelancongan yang telah terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Ia boleh didapati di platform perkhidmatan e-Dompet terpilih selepas majlis perasmian Kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ pada 1 Oktober depan,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Persona Selangor ke Terengganu di sini hari ini.

Azrul Shah berkata, Tourism Selangor berharap baucar subsidi tersebut dapat membantu sasaran kedatangan enam juta pelancong ke negeri tersebut pada tahun ini.

Menurut beliau, setakat ini 70 peratus atau 4.2 juta daripada sasaran kedatangan tersebut telah dicapai.

“Tourism Selangor kini giat mempromosikan segmen pelancongan-eko seperti Sky Mirror (Cermin Langit) di Kuala Selangor dan aktiviti rekreasi alam semulajadi yang ditawarkan di daerah Hulu Selangor, Ampang Jaya, Kuala Selangor dan Sepang. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment