Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Pendapatan sebelum cukai Kumpulan TDM Berhad (TDM) pada suku kedua tahun ini merosot akibat tempias pandemik Covid-19.
Pengerusi TDM, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, kumpulan itu yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu mencatat pendapatan RM83.9 juta pada suku kedua tahun ini berbanding RM99.5 juta pada suku sebelumnya.
Beliau berkata, penurunan pendapatan itu disumbang oleh sektor penjagaan kesihatan yang merosot 35 peratus sepanjang bulan April hingga Jun lalu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kebanyakan pelanggan telah menangguhkan rawatan penyakit tidak kritikal mereka sepanjang tempoh fasa awal PKP dan ia memberi kesan ketara kepada pendapatan sektor penjagaan kesihatan TDM terutama pada bulan April dan Mei lalu.
“Sepanjang tempoh (April dan Mei lalu) itu, bilangan pesakit dalam dalam luar masing-masing di rangkaian hospital kendalian TDM masing-masing merosot sebanyak 53 peratus dan 28 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Raja Idris berkata, ia menyebabkan sektor penjagaan kesihatan hanya menjana pendapatan RM36.1 juta pada suku kedua tahun ini berbanding RM55.1 juta pada suku sebelumnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu sektor peladangan sebaliknya mencatatkan kenaikan pendapatan sebanyak lapan peratus pada tempoh sama.
“Ia didorong kenaikan harga minyak sawit mentah dan isirong sawit masing-masing pada kadar 17 peratus dan 20 peratus,” katanya.
Sehubungan itu, Raja Idris TDM optimis dengan sektor peladangan dengan memberi fokus kepada peningkatan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran.
Tambah beliau, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di rangkaian hospital kendalian TDM juga semakin meningkat selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu.
“Begitupun, TDM masih berwaspada dengan sebarang kemungkinan sekiranya pandemik Covid-19 terus berlarutan dalam tempoh panjang apatah lagi jika tercetus gelombang kedua,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment