Translate

Sunday, September 13, 2020

CCC diharap beri kontrak ECRL kepada syarikat tempatan

 KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu meminta kontraktor utama projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction  (CCC) memudahkan pemberian kontrak pembinaan projek tersebut kepada syarikat tempatan khususnya di negeri itu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, CCC dari China telah mengenakan kaedah pemberian kontrak kerja projek ECRL sangat ketat yang sukar dipenuhi syarikat-syarikat tempatan.

"Harga yang ditetapkan CCC untuk sesuatu kontrak projek pembinaan terlalu rendah menyebabkan syarikat-syarikat tempatan tidak mampu bersaing dengan bidaan firma gergasi luar negara yang mempunyai kemampuan memperoleh bahan mentah dengan kos lebih murah.

"Akhirnya tiada syarikat tempatan pun yang mampu memperoleh kontrak kerja ECRL walaupun 40 peratus projek pembinaan tersebut  di Terengganu bernilai kira-kira RM3 bilion telah diperuntukkan kepada syarikat tempatan,"  katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Konsortium bagi projek ECRL di sini semalam.

No comments:

Post a Comment