Translate

Saturday, September 12, 2020

Ajal pulang dari masjid

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Seorang pembantu kedai runcit maut selepas dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang terbabas di Jalan 

Merang berhampiran Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, mangsa,

Mohamad Ammar Lukman Roslan, 23, tercampak beberapa meter dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, pemuda itu sedang berjalan kaki ke rumahnya selepas menunaikan solat Asar di Masjid Kampung Mengabang Lekor.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd. Razak Hasan berkata, kejadian bermula selepas kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu seorang wanita berusia 60 tahun dikatakan hilang kawalan semasa melalui kawasan berkenaan.

"Kenderaan tersebut kemudiannya terbabas ke bahu jalan dan Mohamad Ammar Lukman yang sedang berjalan kaki ke rumahnya.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak sejauh beberapa meter manakala kereta itu pula melanggar papan tanda dan tiang elektrik di lokasi berkenaan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Abd. Razak berkata, Mohamad Ammar Lukman yang cedera parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

Pemandu kereta Perodua Bezza dan dua penumpangnya tidak cedera. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, kehilangan Mohamad Ammar turut dirasai oleh rakan-rakan mangsa dan penduduk di kampung tersebut kerana sikapnya yang disenangi oleh semua pihak.

Mangsa juga dikatakan kerap solat berjemaah di masjid berkenaan.

Rata-rata kenalan mangsa menitipkan doa dan melahirkan rasa terkejut dengan kejadian menimpa arwah.

Ucapan takziah itu ditinggal di dalam ruangan komen di Facebook milik Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Mohd. Shafizi Ismail.

Berita kematian arwah itu mendapat sebanyak 1,700 tanda sedih dan 394 perkongsian.

Jenazah Mohamad Ammar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mengabang Lekor awal pagi semalam.


No comments:

Post a Comment