TERENGGANU FC tidak gentar untuk menentang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam esok.
Kapten Terengganu FC, Lee Andrew Tuck berkata, mereka sudah melupakan kekecewaan tewas dengan Melaka United minggu lalu dan kembali fokus untuk menghadapi JDT di gelanggang sendiri.
“Kami sedar JDT bertandang ke Kuala Terengganu bukan sahaja dengan reputasi sebagai juara bertahan malah masih segar dengan kejayaan membelasah Perak 7-0.
“Begitu pun, bukan mustahil untuk menjinakkan Harimau Selatan apatah lagi rekod pertemuan kedua-dua pasukan sejak beberapa musim lalu lebih memihak kepada kami,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Lee Tuck juga menyifatkan pertemuan Terengganu FC dengan JDT amat menarik kerana melibatkan dua pasukan yang kini menghuni dua tangga teratas Liga Super.
Sehubungan itu, dia dan rakan-rakan sepasukannya memandang serius aksi tersebut dan tidak sanggup lagi kehilangan mata.
“Kita mahu terus kekal dalam persaingan merebut takhta liga dan sebarang kesilapan sudah pasti bakal menyukarkan hasrat itu.
“Apa pun, saya perlu akui JDT merupakan pasukan handalan dan semakin menunjukkan karektornya untuk mempertahankan kejuaraan liga buat kali ketujuh berturut-turut,” katanya.
No comments:
Post a Comment