KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu memberi amaran kepada pengusaha bot pelancongan yang mengangkut penumpang secara berlebihan di Pulau Kapas, Marang kerana ia membahayakan nyawa orang ramai.
Pengerusi Jawatan kuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pihaknya kesal dengan
sikap segelintir pengusaha bot pelancongan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard normal baharu yang ditetapkan.
"Kita memberi amaran kepada pengusaha bot terbabit agar idak tamak mengambil kesempatan terhadap peningkatan pemintaan pelancong ke Pulau Kapas pada masa ini.
"Pasukan penguat kuasa Jabatan Laut telah diminta untuk mengetatkan pemeriksaan terutama pada awal pagi dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran peraturan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Ariffin mengulas aduan seorang pengunjung Pulau Kapas tentang sikap tamak pengusaha tidak mementingkan keselamatan dan keselesaan pelancong yang tular di media sosial baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya juga telah memanggil pengusaha bot pelancongan terlibat untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.
Pulau-pulau peranginan di Terengganu termasuk Pulau Kapas menjadi tumpuan utama dan dipenuhi ratusan ribu pelancong domestik sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lalu.
No comments:
Post a Comment