Translate

Wednesday, September 9, 2020

Rumah ranap dihempap pokok

DUNGUN - Tiga beranak nyaris maut selepas rumah yang mereka diami musnah ditimpa pokok mangga yang tumbang dalam kejadian ribut di Kampung Bukit Merah, Paka dekat sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 5.30 petang itu turut menyebabkan tukang potong rumput, Mohd. Abdullah, 63,  cedera ringan di bahagian kepala akibat ditimpa siling rumah.

Katanya, ketika kejadian, dia yang baru pulang dari tempat kerja sedang duduk bersama isteri, Noraini Mohd Zin, 51, di rumah tamu sementara anak tirinya, Mohd. Lokman Mohd. Lazim, 20, di luar rumah.

"Ketika sedang berehat, hujan dan ribut dalam tempoh 10 minit telah menyebabkan pokok mangga yang berusia lebih 70 tahun tumbang lalu menghempap bumbung.

"Anak lelaki bergegas masuk ke dalam dalam rumah untuk menyelamat kami. Pokok mangga berukuran setengah meter lebar itu terletak di hadapan rumah," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, kejadian itu mengakibatkan dia kerugian RM25,000.

"Kami memang sudah lama bimbang namun tidak mampu untuk membiayai kos menebang pokok mangga tersebut," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Taman Indah Permai, Bukit Merah, Rayah Mohd. berkata, rumah Mohd. akan dibaik pulih dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment