MARANG - Seorang juruteknik Petronas maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membuat pusingan U secara tiba-tiba di Kilometer 29.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Pulau Kerengga di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, Muhammad Hariz Moksin, 30, yang berasal dari Teluk Ketapang, Kuala Nerus meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, kejadian berlaku selepas kenderaan pacuan empat, Toyota Hilux yang dipandu seorang guru berusia 54 tahun tiba-tiba membuat pusingan U di laluan berkenaan.
"Pemandu Toyota Hilux itu dikatakan membuat pusingan U untuk ke sebuah kedai makan di berada di bahu jalan laluan bertentangan.
"Motosikal Yamaha 125ZR yang dinaiki Muhammad Hariz dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh kenderaan terbabit," katanya di sini semalam.
Mohd. Zin berkata, impak kemalangan itu menyebabkan motosikal mangsa terperosok ke bawah kenderaan Toyota Hilux berkenaan.
Beliau berkata, mayat Muhammad Hariz telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.
"Guru yang memandu kenderaan Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
No comments:
Post a Comment