Translate

Sunday, September 13, 2020

Simpan urin kawan elak positif

 

KUALA TERENGGANU - Helah seorang lelaki disyaki penagih dadah menyimpan air kencing rakannya bagi melepasi pemeriksaan pihak berkuasa gagal memperdaya penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Pegawai AADK Kuala Terengganu, Saufi Yusoff berkata, suspek berusia 20-an merupakan salah seorang daripada 28 individu disyaki penagih dadah yang ditahan dalam operasi di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus pada Selasa lalu.

"Cubaan lelaki itu untuk menukar sampel air kencingnya bagi ujian pengesanan dadah dengan milik kawannya gagal apabila dikesan anggota penguat kuasa AADK bertugas.

"Dia didapati menyimpan botol yang mengandungi air kencing milik kawannya yang bebas kandungan dadah itu di dalam seluar dalamnya," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Saufi berkata, suspek yang disoal siasat mengaku sentiasa menyimpan botol yang mengandungi air kencing kawan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ditahan pihak berkuasa.

Tambah beliau,  lelaki itu mengaku akan menggunakan sampel air kencing kawannya berkenaan setiap kali perlu menjalani ujian urin apabila ditahan pihak berkuasa.

"Dia kemudiannya terpaksa menyerahkan sampel air kencingnya sendiri yang kemudiannya disahkan positif dadah," katanya.


No comments:

Post a Comment