Translate

Tuesday, September 15, 2020

Arahan arwah ibu bakar rumah nenek

KUALA TERENGGANU – Bakar kertas sebelum campak ke timbunan kain.

Itu antara tindakan dilakukan seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) yang mengaku membakar rumah neneknya selepas mendakwa menerima arahan daripada arwah ibu dalam kejadian di Kampung Gong Tok Nasek di sini kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 8 malam itu berlaku ketika remaja lelaki berusia 14 tahun yang me­ngalami masalah hiperaktif tinggal bersendirian di rumah, manakala bapa dan neneknya keluar ke rumah saudara.

Nenek saudaranya, Juriah Salleh, 64, yang tinggal berhampiran berkata, remaja itu berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dan berdiri di depan rumah tersebut sambil menangis.

“Dia mengaku membakar rumah tersebut selepas katanya menerima arahan daripada arwah ibunya yang sudah mening­gal dunia dua tahun lalu.

“Remaja itu juga ada menceritakan bagaimana dia menghidupkan api sehingga mencetuskan kebakaran di rumah tersebut,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, cucu saudaranya itu telah menghidupkan api dengan sebatang mancis sebelum menyalakan lilin dan membakar sehelai kertas.

“Dia kemudian mencampak­kan kertas yang terbakar itu pada timbunan kain menyebabkan api merebak ke seluruh rumah,” katanya.

Tambah beliau, remaja itu mengalami kemurungan sejak kehilangan ibunya yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

“Sehingga kini, dia masih me­nerima rawatan di hospital. Dia memang agresif sejak kecil dan pernah cuba membakar rumah ini ketika berusia 10 tahun tetapi berjaya dipadamkan ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pasukannya yang tiba di lokasi kejadian mendapati rumah kayu berkenaan telah musnah 100 peratus.

“Seorang penghuni rumah yang merupakan remaja lelaki bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.

“Anggota bomba mengambil masa 25 minit untuk mengawal kebakaran. Jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment