Oleh MOHD. AZLI ADLAN
PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid mendedikasi Anugerah Gol Terbaik Sedekad Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dimenanginya kelmarin kepada peminatnya di seluruh negara khususnya Johor.
Beliau berkata, pemilihan gol yang dijaringkan ketika menentang kelab China, Shandong Luneng pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim lalu itu telah merangsang motivasinya untuk meningkatkan lagi mutu permainan.
"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang bantu saya menang (Anugerah Gol Terbaik Sedekad AFC). Saya hargai sangat kerana bukan senang hendak mendapat anugerah gol terbaik.
"Ia memberi semangat baru kepada saya. Begitupun saya masih anggap bukan pemain yang bagus dan perlu bekerja keras berlatih untuk mencapainya," katanya ketika ditemui selepas aksi Liga Super JDT menentang Terengganu FC I di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu kelmarin.
Pada aksi itu, Muhammad Safawi yang berasal dari Dungun, Terengganu terus mempamerkan bisanya dengan meledak gol tunggal perlawanan bagi membolehkan JDT membawa pulang tiga mata berharga dengan kemenangan 1-0.
Terdahulu, laman web rasmi AFC kelmarin mengumumkan Muhammad Safawi, 23, memenangi Anugerah Gol Terbaik Sedekad AFC setelah menerima undian tertinggi iaitu 34 peratus daripada peminat bola sepak dari seluruh Asia.
Undian bagi meraikan jaringan terbaik dalam saingan ACL sejak 10 tahun lalu tersebut telah dibuka untuk peminat bola sepak Asia sejak tiga minggu lalu di laman web rasmi AFC berkenaan.
Sebelum ini jaringan sama menerusi sepakan lencong yang dilakukan Muhammad Safawi ketika menewaskan penjaga gol Shandong Luneng, Wu Xinghan pada aksi itu turut diundi sebagai gol lencongan terbaik ACL 2019 pada Mei lalu.
Dalam pada itu, Muhammad Safawi berkata, dia tidak terlalu memikirkan desas-desus beraksi untuk Liga Premier Portugal, Portimonense SC pada musim depan sebaliknya fokus untuk membantu JDT meraih kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut.
No comments:
Post a Comment