Translate

Sunday, September 6, 2020

APMM tahan tiga kapal tangki disyaki bekal diesel kepada bot nelayan Vietnam

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Tiga kapal tangki asing telah ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Terengganu dekat sini kerana disyaki membekalkan minyak diesel kepada bot-bot nelayan Vietnam yang mencuri hasil laut negara.

Kesemua kapal tangki yang masing-masing didaftarkan di Thailand dan Mongolia itu telah ditahan Kapal Maritim (KM) Langkawi pada kedudukan antara 124 dan 130 batu nautika dari perairan Kemaman pada Khamis lalu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, risikan mendapati ketiga-ketiga kapal tangki asing itu berperanan sebagai kapal induk kepada bot-bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan Pantai Timur termasuk Terengganu.

“Kesemua kapal tangki yang ditahan itu dipercayai membekalkan minyak diesel kepada bot-bot nelayan Vietnam agar boleh lebih lama berada di perairan negara untuk mencuri hasil laut.

“Seramai 33 kru ketiga-tiga kapal tangki berkenaan yang terdiri daripada 25 warga Kemboja dan selebihnya warga Thailand telah turut ditahan setelah gagal mengemukakan dokumen sah termasuk insurans kapal,” katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Kemaman dekat sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pasukan penguat kuasa APMM turut menjumpai buku log transaksi jualan diesel kepada bot nelayan asing Vietnam daripada salah satu kapal tangki yang ditahan berkenaan.

Menurut beliau, minyak diesel sebanyak 505,700 liter dan wang tunai RM700 serta matawang Thailand bernilai RM1,259.24 juga dirampas dalam operasi berkenaan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment