Translate

Sunday, September 20, 2020

Syukur sayu lima lagi kerbau mati

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hati Muhammad Syukur Khamis, 15, yang dikenali sebagai Mowgli Malaysia terus sayu apabila lima lagi kerbau peliharaan keluarganya mati akibat wabak Heamoragic Septicaemia atau hawar berdarah semalam.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin tersebut berkata, setakat ini 41 kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh, 64, telah menjadi korban akibat wabak itu sejak 9 September lalu.

"Saya juga perhatikan sekurang-kurangnya lima ekor lagi kerbau yang terdapat di kandang ini mempunyai simptom dijangkiti hawar berdarah.

"Saya amat risau penyakit itu akan menjangkiti tiga kerbau kesayangan saya iaitu Semek, Along dan Tokol," katanya ketika ditemui di kandang kerbau keluarganya di Kampung Kubang Bujuk di sini semalam.

Sehubungan itu, Muhammad Syukur memberitahu, dia telah mengasingkan Semek, Along dan Tokol di lokasi lain kira-kira 30 meter dari kandang asal.

Ujarnya, setakat ini ketiga-tiga ekor kerbau kesayangannya itu masih terselamat daripada terkena wabak hawar berdarah berkenaan.

Sementara itu, Khamis berkata, air matanya tumpah apabila salah seekor daripada lima haiwan peliharaannya mati semalam merupakan kerbau betina yang baru melahirkan anak kira-kira sebulan lalu.

"Menitis air mata saya melihat anaknya yang masih menyusu terpinga-pinga melihat induknya sudah tidak bernyawa lagi pagi ini (semalam).

"Saya amat harap Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dapat membantu menyelamatkan baki kerbau yang masih tinggal," katanya.

Dalam pada itu, JPV Terengganu bertindak menuutp kandang kerbau milik Khamis dengan memasang pita keselamatan berkuat kuasa semalam.

Pengarah JPV negeri, Dr. Mohd. Termizi Ghazali berkata, penutupan itu bagi mengehadkan pergerakan haiwan ternakan itu selain kemasukan orang awam ke kandang berkenaan selaras dengan Akta Binatang 1953 (Semakan 2006).

"Kita tidak mahu bakteria haeomorrhagic septicaemia (hawar berdarah) yang terdapat di kandang kerbau berkenaan menular ke kawasan lain pula," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan hati Muhammad Syukur luluh menyaksikan 36 kerbau peliharaan bapanya mati bergelimpangan di dalam kandang disebabkan wabak hawar berdarah.

Dia sudah menganggap haiwan ternakan yang dibelanya sejak berumur enam tahun berkenaan sebagai sahabat.

Muhammad Syukur mula terkenal sejak awal tahun lalu  apabila gambar selepas gambarnya bermesra dengan sekumpulan kerbau sering memenangi anugerah fotografi antarabangsa termasuk yang terbaharu Imej Asia 2020 bagi bulan Ogos bagi kategori Orang/Jalanan oleh Asian Geographic.


No comments:

Post a Comment