Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Masjid Seberang Bukit Tumbuh dan Surau Al-Mustaqim, Kampung Bukit Tumbuh di sini diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan negeri berkuatkuasa semalam kerana diziarahi seorang individu yang disyaki dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, kedua-dua rumah ibadah tersebut akan ditutup sehingga keputusan ujian pengesahan Covid-19 individu tersebut diumumkan.
“Masjid dan surau itu ditutup untuk tujuan disinfeksi (nyah kuman). Kita juga telah mengambil inisiatif mengesan, mengasing dan melakukan saringan awal terhadap kontak-kontak rapat individu berkenaan.
“Semua langkah-langkah tersebut merupakan tindakan awal dan proaktif bagi mengekang penularan pandemik tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Nor Azimi berkata, individu yang disyaki dijangkiti Covid-19 itu telah pulang ke Terengganu pada 30 Julai hingga 15 Ogos lalu.
Tambahnya, sepanjang di kampung, individu itu bukan sahaja bersolat di Masjid Seberang Bukit Tumbuh dan Surau Al-Mustaqim malah telah menziarahi sanak-saudara dan kenalan di beberapa lokasi di negeri ini.
“Orang ramai tidak perlu panik kerana kes Covid-19 ini masih belum sahih. Mereka hanya perlu mematuhi prosedur standard operasi ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment