HULU TERENGGANU - Seorang pelajar kolej lemas ketika menyelamatkan dua rakannya di Sungai Kelemin, Felda Mengkawang, Ajil di sini kelmarin.
Mayat mangsa, Faris Iskandar Mohd. Radhi, 19, yang merupakan pelajar sebuah kolej penerbangan di Sepang, Selangor ditemui pada pukul 7.33 malam.
Mangsa yang berasal dari Losong, Kuala Terengganu pergi ke lokasi itu bersama 12 individu lain termasuk dua kanak-kanak sempena cuti Maal Hijrah pada pukul 1 tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mad Daud berkata, dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, mangsa terdengar jeritan dua rakannya berusia 11 dan 28 tahun yang nyaris lemas.
"Mangsa segera terjun ke dalam sungai dan dapat menyelamatkan seorang rakannya. Selepas itu, mangsa yang dipercayai kepenatan tenggelam semasa mahu menyelamatkan seorang lagi mangsa," katanya.
Ayah mangsa, Mohd. Radhi Kamaruddin, 49, segera menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya sebelum mayat anaknya ditemui di dasar sungai pada pukul 7.33 malam.
Sementara tu, Mohd. Radhi berkata, anaknya kerap meluangkan masa ke surau dan memuat naik status berkaitan akhirat di media sosial
"Dia juga kerap menegur kawan-kawannya tentang kepentingan bersolat," katanya.
No comments:
Post a Comment