Translate

Friday, September 11, 2020

Kanak-kanak 10 tahun maut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Perjalanan sebuah keluarga ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu berakhir dengan tragedi selepas mereka terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM32.5 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berhampiran Penjara Marang di sini kelmarin.

Muhammad Adib Fakhrullah Mohd. Fadili, 10,  maut manakala ibu bapanya, Noor Wahida Mamat @ Adam, 41, dan Mohd. Fadili Mohamad, 38, serta dua adiknya, Ainul Mardhiah Najihah, 8, dan Muhammad Thaqif Naufal, 4, pula cedera parah.

Kemalangan itu juga turut menyebabkan seorang jurulatih silat, Mohd. Azwarin Ahmed,  39, yang memandu kereta Toyota Corolla cedera parah di bahagian kepala dan paha.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Fadili dan keluarganya difahamkan dalam perjalanan ke HSNZ untuk melawat bayi perempuan yang masih dirawat kerana dilahirkan pra matang dari kediaman mereka di Kemaman.

"Kejadian bermula apabila kereta Toyota Corolla dipandu Mohd. Azwarin dari arah Kuala Terengganu dikatakan telah hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

"Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun cuba mengelak kereta dipandu Mohd. Azwarin hingga terbabas ke tepi jalan. Kereta itu kemudiannya bertembung dengan Perodua Alza dinaiki Mohd. Fadili sekeluarga  yang berada di belakangnya Toyota Wish itu," jelasnya.

Mohd. Zain berkata, rempuhan itu menyebabkan bahagian hadapan kedua-dua kenderaan itu remuk teruk.

Menurut beliau, mayat Muhammad Adib Fakhrullah yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan telah dikeluarkan dengan bantuan orang awam sebelum dihantar ke unit forensik HSNZ untuk dibedah siasat.

"Empat ahli keluarga kanak-kanak lelaki itu dan pemandu kenderaan Toyota Wish, Mohd. Azwarin yang cedera parah pula telah dikejarkan ke unit rawatan rapi HSNZ untuk menerima rawatan.

"Pemandu kereta Toyota Corolla pula terselamat tanpa sebarang kecederaan namun kenderaannya mengalami kerosakan selain salah satu tayarnya pecah," katanya.

Mohd. Zain berkata, kes disiasat mengikut Seksyen  41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment