Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Minggu ini menjadi waktu yang paling sukar buat Muhammad Syukur Khamis yang dikenali sebagai 'Mogwli Malaysia' apabila satu per satu kerbau kesayangannya mati akibat penyakit
hawar berdarah.
Terbaharu, kerbau bergelar Tokol yang bergambar dengannya dalam foto yang memenangi Imej Asia 2020 bagi bulan Ogos bagi kategori Orang/Jalanan oleh Asian Geographic baru-baru ini mati akibat wabak Heamoragic Septicaemia atau hawar berdarah kelmarin.
Kerbau jantan berusia enam tahun itu mati di depan mata Muhammad Syukur pada pukul 5 petang.
Lebih menyedihkan, Tokol 'pergi' 10 jam selepas seekor lagi kerbau betina kesayangan remaja itu iaitu Semek mati akibat penyakit sama pada pukul 7 pagi.
Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin berkenaan memberitahu, Tokol menggelupur sebelum mati ketika dia sedang memandikan haiwan kesayangannya tersebut.
"Tokol mula Menunjukkan tanda-tanda dijangkiti hawar berdarah dengan hidungnya berair sejak tengah hari semalam (kelmarin).
"Saya cuba menenangkannya dengan membasahkan badannya dengan air selain menyuapkannya dengan makanan namun dia 'pergi' juga," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Muhammad Syukur berkata, kelmarin merupakan hari yang paling menyedihkan dalam hidupnya selepas kehilangan dua kesayangan iaitu Semek dan Tokol sekali gus.
Dia berkata, gambarnya bersandar di belakang Tokol yang diambil jurufoto bebas, Yusuf Madi baru sahaja terpilih memenangi Imej Asia 2020 bagi bulan Ogos bagi kategori Orang/Jalanan oleh Asian Geographic.
"Saya suka Tokol sebab ia antara kerbau peliharaan bapa saya yang mudah diuruskan untuk sesi fotografi.
"Gambar itu sudah pasti menjadi pengubat rindu terhadap kenangan terhadap Tokol," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Dr. Mohd. Termizi Ghazali berkata, pihaknya telah menyuntik antibiotik ke atas semua baki kerbau milik bapa Muhammad Syukur, Khamis Jusoh, 64.
"Ini usaha terakhir untuk menyelamatkan ternakan kerbau tersebut," katanya.
Selasa lalu, Kosmo! melaporkan hati Muhammad Syukur luluh menyaksikan 50 kerbau peliharaan bapanya mati bergelimpangan di dalam kandang disebabkan wabak hawar berdarah.
Dia sudah menganggap haiwan ternakan yang dibelanya sejak berumur enam tahun berkenaan sebagai sahabat.
No comments:
Post a Comment