Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KEMAMAN - Lebih 2,000 penduduk Taman Desa Solehah dan Taman Suteramas, Bukit Takal dekat sini sudah tidak tahan lagi menanggung bau busuk berpunca dari sebuah pusat pelupusan sampah berhampiran.
Seorang penduduk, Manisah Othman, 48, mendakwa, masalah pencemaran bau itu telah ditanggung penduduk kedua-dua taman perumahan berkenaan sejak 10 tahun lalu.
"Pusat pelupusan sampah itu terlalu dekat iaitu kira-kira 500 meter dengan taman perumahan kami.
"Bau busuk kuat menusuk hidung tanpa mengira siang malam sehingga menyebabkan rasa tidak selesa dan telah mengganggu rutin kehidupan kami seharian sejak sekian lama," dakwanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurutnya, bau busuk berkenaan semakin kuat pada waktu hujan dan ia dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan penduduk pada jangka panjang.
Seorang lagi penduduk, Siti Aishah Shah Ahmad Sabri, 27, mendakwa pencemaran bau itu turut mengundang kehadiran lalat.
"Ada masanya lalat terlalu banyak sehingga mengacau operasi kedai makan yang saya usahakan.
"Dulu kami mendengar pusat pelupusan sampah ini akan ditutup tetapi tiada sebarang pengesahan dan sampai sekarang ia masih beroperasi lagi," katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jusman Ibrahim berharap penduduk Taman Desa Solehah dan Taman Suteramas dapat bersabar buat sementara waktu kerana pusat pelupusan sampah itu dijangka akan ditutup sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
"Ia akan digantikan dengan pusat pelupusan sampah baru yang sedang dibina di Bukit Jemalang dekat sini iaitu kira-kira 30 kilometer dari lokasi berkenaan.
"Buat masa ini, MPK telah mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan pencemaran bau seperti semburan kawalan bau dan serangga, menimbus sampah dan membina kawalan penempatan sampah," katanya.
No comments:
Post a Comment