Translate

Saturday, September 12, 2020

Buruh edar dadah dihukum gantung

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Nasib seorang buruh yang tidak serik mengedar dadah berakhir di tali gantung apabila dia dijatuhi hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin dan pil kuda, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memerintahkan hukuman demikian terhadap tertuduh,  Abd. Wahab Said, 45, selepas pihak pembelaan gagal menyangkal keraguan munasabah terhadap kes prima facie dikemukakan pihak pendakwaan.

Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lelaki itu atas dua lagi kesalahan lain memiliki dadah jenis Eramin 5.

Tertuduh diwakili peguam, Ghazali Ismail dan Masliela Ismail manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Ahmad Fadhli Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Abd. Wahab didakwa mengedar dadah jenis pil kuda seberat 123.89 gram di sebuah rumah di Bukit Payong, Marang pada pukul 7.30 pagi, 10 Disember 2017.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis pil kuda dan heroin masing-masing seberat 51.84 gram dan 43.60 gram yang diletakkan di dalam sebuah kereta Perodua Myvi yang diletakkan di lokasi sama pada masa dan tarikh sama.

Abd. Wahab didakwa mengikut Seksyen Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa dengan dua pertuduhan memiliki dadah jenis Erimin 5  masing-masing seberat 7.58 gram dan 7.15 gram di dalam rumah dan kenderaan sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment