Translate

Saturday, September 12, 2020

Suapan untuk bisnes mertua

 

KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan salah guna kuasa mendapatkan suapan berjumlah RM5,540 daripada syarikat pembekalan milik ahli keluarganya pada empat tahun lalu.

Penolong Penguasa Bomba Terengganu, Mohd. Roslan Zakaria, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mencadangkan sebut harga syarikat adik iparnya bagi membekalkan 31 unit kompas 

orienteering bernilai RM7,440.

Mohd. Roslan turut didakwa turut menggunakan jawatannya untuk mencadangkan sebut harga syarikat ibu mertuanya bagi membekalkan 60 unit antena dan 30 unit alat ganti pengecas jenama Motorola bernilai RM8,100.

Kedua-dua perbuatan berkenaan didakwa dilakukan tertuduh di Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Marang pada bulan  November 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Jamaludin membenarkan Mohd. Roslan dibebaskan dengan wang jaminan RM5,000 dan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 September depan.

Mohd. Roslan yang diwakili peguam, Mohd Hayatuddin Muhamad membayar wang jaminan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh.


No comments:

Post a Comment