Translate

Friday, September 11, 2020

Tinggalkan kekasih demi adik tersayang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Demi kasih sayang terhadap adik yang lumpuh, seorang lelaki sanggup membujang dengan melupakan niat untuk berumah tangga.

Muhammad Rafii Kasim, 50, turut nekad berhenti kerja sebagai pemandu lori untuk menjaga adik lelakinya, Mohamad Nainuddin, 43, yang terlantar sejak 11 tahun lalu.

Dia berkata, Mohamad Nainuddin lumpuh separuh badan ketika sedang bekerja membaiki tangki air di Balai Polis Jerangau, Dungun pada akhir tahun 2009 yang menyebabkannya mengalami kecederaan parah pada tulang belakang dan paha.

"Bahagian punggungnya  juga cedera parah hingga menyebabkan perutnya terpaksa ditebuk bagi memudahkan proses perkumuhan dan dia perlu penjagaan rapi kerana hampir kesemua rutin hariannya perlu dibantu.

"Pada masa itu, saya membatalkan hasrat untuk berkahwin dengan meninggalkan kekasih dan berhenti kerja demi mengambil tanggungjawab menjaganya sepenuh masa sejak 11 tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Nangka di sini semalam.

Muhammad Rafii berkata, tanpa sebarang pendapatan tetap, dia dan adiknya, Mohamad Nainuddin bergantung hidup kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM550 sebulan.

Selain itu, dia memberitahu adiknya juga menerima pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan purata RM600 sebulan.

"Walaupun begitu, ia masih belum mencukupi untuk membiayai kos perubatan bulanan adik saya yang semakin meningkat.

"Antaranya beg stoma bagi proses perkumuhan, kapas dan cecair pembasmi kuman yang terpaksa digunakan secara berjimat mengikut sumber kewangan diperolehi. Kami juga terpaksa menyewa ambulans dengan kos RM100 setiap kali adik perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital pada dua bulan sekali," katanya.

Muhammad Rafii juga memberitahu, tilam udara yang disumbangkan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said untuk keselesaan Mohamad Nainuddin pada 10 tahun lalu juga rosak beberapa tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau merayu sumbangan bagi meringankan beban mereka dua beradik terutama kos pembelian beg stoma yang menelan belanja kira-kira RM13.40 sekeping.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang menerusi akaun Bank Simpanan Nasional Muhammad Rafii iaitu 1100741000051443 atau menghubunginya di talian 0179129959.


No comments:

Post a Comment