Translate

Thursday, January 18, 2024

Wanita maut makan sandwic basi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan kematian seorang wanita akibat keracunan makanan disyaki selepas menikmati sandwic basi di medan selera kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman baru-baru ini. 

 Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, siasatan awal mendapati Khatijah Mohamed, 54, mengalami gejala keracunan makanan selepas memakan makanan yang dikatakan telah dibeli di R&R Perasing berkenaan. 

 “Mangsa telah mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah selepas memakan makanan yang dipercayai telah basi.

 “Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman yang telah menerima notifikasi kes keracunan makanan telah menjalankan siasatan terhadap premis terlibat,"katanya di sini semalam. 

 Dr. Kasemani berkata, PKD Kemaman telah mengambil sampel makanan selain memeriksa peralatan dan pengendali makanan untuk siasatan lanjut. 

Beliau berkata, keputusan sampel terbabit sedang ditunggu bagi tindakan selanjutnya. 

 “JKNT merakamkan takziah kepada keluarga arwah. Kes keracunan makanan ini dipandang serius.

“Kami menasihati pengendali makanan supaya sentiada menitik berat aspek kesihatan dan keselamatan makanan dan minuman yang dijual,” katanya. 

Terdahulu, seorang pengguna dikenali sebagai Sahara Nabillah memuat naik hantaran di Facebook mengatakan ibu saudaranya, Khatijah meninggal dunia akibat keracunan makanan seepas memakan sandwic yang dibeli di R&R Perasing. 

 Khatijah yang berasal dari Johor Bahru itu dipercayai meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini pada Selasa lalu. 

 Selain itu, dalam kejadian sama seorang anak saudara Khatijah turut mengalami keracunan makanan. Khatijah bersama keluarga dalam perjalanan dari Johor ke Terengganu untuk pendaftaran seorang anak buahnya di sebuah universiti.


No comments:

Post a Comment