Translate

Monday, January 15, 2024

Banjir di Pantai Timur makin buruk

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA, MOHD. AZLI ADLAN, MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD, AIMUNI TUAN LAH, ROHANA ISMAIL, HARIS FADILAH AHMAD, NOOR HAYATI MAMAT dan NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

KEADAAN banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang semakin memburuk apabila lebih 25,000 penduduk daripada lebih 7,500 keluarga terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka ditenggelami air sehingga ada yang hanya nampak bumbung. 

Lebih memburukkan keadaan, puluhan ribu lagi penduduk di kebanyakan daerah di tiga negeri itu turut terputus hubungan selepas jalan raya dan jambatan ditenggelami air selain kejadian tanah runtuh. 

Ada penduduk di Gua Musang menyifatkan bencana alam kali ini adalah yang terburuk selepas bah kuning yang melanda penempatan mereka pada tahun 2014. 

Info Bencana JKM memaklumkan, Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir iaitu seramai 14,954 orang daripada 4,601 keluarga di 10 daerah yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 5 petang semalam

Antara daerah terlibat ialah Gua Musang, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Machang, Kuala Krai, Kota Bharu dan Pasir Puteh. Menurut Sekreteriat Pengurusan Bencana Kelantan, paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Sungai Golok di Rantau Panjang masih mencatatkan paras bahaya semalam.

 Katanya, bacaan Sungai Kelantan di Sungai Nal dan Tambatan Diraja serta Sungai Semerak (Pasir Puteh) pula berada pada tahap amaran. 

“Sungai-sungai lain di Kelantan ketika ini berada pada paras normal dan berjaga-jaga,” katanya.

 Sementara itu, di Terengganu, jumlah mangsa banjir di tujuh daerah semakin meningkat dengan 10,092 orang daripada 2,789 keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS setakat petang semalam. 

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memberitahu, Hulu Terengganu menjadi daerah paling terjejas dengan 3,271 mangsa daripada 946 keluarga berada di 34 PPS. 

 Katanya, seramai 2,296 mangsa daripada 618 keluarga pula berada di 28 PPS di Dungun, manakala di Setiu sebanyak 2,120 mangsa daripada 620 keluarga ditempatkan di 28 PPS. 

Setakat petang semalam, Kuala Terengganu kini satu-satunya yang masih terselamat daripada banjir gelombang ketiga berikutan pertembungan tempias ribut Jelawat dan angin tropika itu. 

 Di Pahang, jumlah mangsa  banjir terus meningkat kepada 503 orang daripada 130 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS di dua daerah. 

Pertambahan mangsa berikutan sebuah lagi PPS telah dibuka di Lipis dan Raub. 

Jurucakap Sekretariat Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, dua batang sungai di Jerantut, Maran dan Rompin telah menunjukkan paras bahaya dengan Sungai Tembeling di Kampung Bantal mencatat 106.22 meter. 

Ujarnya, Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran pula pada paras 28.66 meter dan Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia di paras 11.81 meter dalam keadaan tren menaik. 

“Sebanyak 10 batang sungai di Lipis, Jerantut, Temerloh, Kuantan dan Rompin mencatat aras amaran juga dalam keadaan tren menaik, manakala 14 batang sungai di daerah yang sama aras waspada,” ujarnya. 

Tambahnya, penduduk yang tinggal di pesisir sungai utama dan kawasan rendah diminta sentiasa berwaspada dengan kenaikan paras air.

No comments:

Post a Comment