Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
KUALA TERENGGANU – Rata-rata ibu bapa berpendapat anak-anak mereka akan lebih berjaya jika memilih untuk belajar dalam aliran Sains Tulen.
Seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Rahimah, 42, mengakui membuat keputusan untuk anak lelakinya di tingkatan empat memilih aliran Sains Tulen.
Penjawat awam itu berkata, walaupun sedar anak sulungnya itu lebih berminat kepada aliran Sastera kerana kecenderungan terhadap muzik tetapi dia percaya pilihan itu terbaik demi masa depan remaja tersebut.
“Bukan memaksa tetapi memandu hala tuju demi masa depan dia (anaknya). Saya percaya pemilihan aliran Sains Tulen dapat membuka jalan lebih luas untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan yang kompetitif di universiti kelak dan mendapat pekerjaan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Di Shah Alam, seorang bapa, Ahmad Muslim Abdullah Zainal, 38, berkata, dia memaksa anak sulung, Ahmad Roslan, 16, mengambil aliran Sains kerana terbaca di akhbar yang negara ini memerlukan ramai profesional seperti doktor, jururawat dan akauntan.
“Jadi, saya nampak anak berpeluang untuk dapat kerja jika memasuki aliran ini,” katanya.
Seorang lagi ibu, Zawiyah Mohd. Misron, 40, berkata, dia dan suami turut menyuruh anak sulung, Nor Elina Abu Kassim, 16, menyambung pelajaran dalam aliran Sains.
“Apabila saya dan suami terangkan sebabnya, dia memahami hasrat kami. Kami sedia keluar belanja untuk tuisyennya,” katanya.
No comments:
Post a Comment