Translate

Saturday, January 13, 2024

Bersedia tinggal lebih lama di PPS

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan ROHANA ISMAIL

PETALING JAYA – Banjir gelombang ketiga yang melanda Pantai Timur sejak Sabtu lalu dijangka menyebabkan ramai mangsa tinggal lebih lama di pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran paras air surut dengan perlahan. 

Ketika ini, sebanyak 20,788 mangsa bah di Kelantan, manakala 4,477 orang Terengganu ditempatkan di 100 PPS sehingga pukul 5 petang semalam. 

 Keadaan yang menyebabkan banjir termenung itu dijangka berlarutan sehingga lebih seminggu. 

Di Terengganu, bah kali ini disifatkan terburuk sepanjang tempoh Monsun Timur Laut berbanding gelombang pertama dan kedua masing-masing pada 20 November dan 14 Disember lalu ekoran taburan hujan lebih tinggi selain angin kencang. 

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hulu Terengganu, Mohd. Zabri Abd. Razak berkata, walaupun tidak seteruk impak bah luar biasa pada Februari tahun lalu, sebahagian besar mukim di daerah ini terjejas akibat banjir gelombang ketiga ini. 

 Beliau berkata, berdasarkan pemantauan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Terengganu beberapa kawasan di daerah ini mengalami banjir termenung menjangkau lebih seminggu.

 “Berdasarkan pengalaman, banjir di kawasan rendah tersebut hanya akan surut sepenuhnya dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi,” katanya semalam. 

 Mohd. Zabri berkata, selain kapasiti hujan lebat, aliran banjir skala besar yang turun serentak dari kawasan hulu seperti Sekayu, Menerong, Lubuk Periuk dan Pengkalan Ajal menyebabkan fenomena banjir termenung di kawasan rendah seperti Kampung Paya Besar.

 “Mangsa banjir di penempatan terlibat dengan banjir termenung perlu bersedia menetap lebih lama di PPS sewaktu kawasan-kawasan lain sudah pulih sepenuhnya.

 “Kami akan sentiasa memastikan kebajikan termasuk makan minum terjaga selain keselamatan harta,” katanya. 

Sementara itu, seorang penduduk, Kayah Hamid, 69, berkata, banjir gelombang ketiga kali ini lebih besar berbanding dua episod sebelum ini. 

 “Limpahan Sungai Berang menaikkan paras banjir dengan pantas. Mujur kami sudah bersedia memindahkan barang berharga di tempat tinggi,” katanya. 

 Wan Daud Sembok, 79, berkata, fenomena banjir termenung bukan perkara baharu untuk penduduk Kampung Paya Besar. 

 “Kalau bah besar memang kena banjir termenung, pernah 10 hari pun masih belum surut. Bersabar dan reda sahajalah dengan ujian Allah ini,” katanya. 

 Di Kelantan, Mohd. Fakurodzi Mahadzir, 52, berkata, biarpun air di Pekan Meranti beransur surut, namun keadaan itu meresahkan penduduk apabila paras air turun agak perlahan meskipun cuaca baik sejak beberapa hari lalu. 

“Cuaca hari ini (semalam) pula hujan sekejap-sekejap. Kami bimbang juga air kembali meningkat.

 “Kebiasaannya, banjir akan surut dalam tempoh dua hingga tiga hari sekiranya cuaca panas dan baik dalam tempoh itu,” katanya semalam. 

Dalam pada itu, Rohana Abdul Ghani, 47, berkata, banjir yang berlaku kali ini sejak Sabtu lalu menghampiri paras bah besar pada 2014. 

“Kebiasaannya, rumah saya akan terjejas banjir sekiranya hujan lebat, tetapi kali ini kami sekeluarga selamat,” ujarnya. 

Tambahnya, jalan utama di pekan Meranti masih lagi digenangi air sedalam 0.2 meter dan boleh dilalui kenderaan berat sahaja.


No comments:

Post a Comment