Translate

Friday, January 26, 2024

‘Pulau Pinang, Terengganu beri laluan untuk PRN’

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan SAFINA RAMLI 

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak semalam memberi persetujuan bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini. 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau telah mendapat persetujuan daripada Ahmad Fuzi untuk membubarkan DUN Pulau Pinang berkuat kuasa pada 28 Jun.

 ‘’Pagi ini saya telah mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri untuk menandatangani proklamasi untuk DUN dibubarkan bagi membuka jalan untuk PRN, ia akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas semua negeri membubarkan DUN masing-masing. 

‘’Saya rasa lega selepas semua ini berakhir dan kita boleh membuat persediaan bagi mengadakan PRN,’’ katanya selepas bertemu Ahmad Fuzi di sini semalam. 

Terdahulu, kenderaan yang dinaiki Kon Yeow kelihatan memasuki kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri di Seri Mutiara, di sini kira-kira pukul 7.53 pagi dan beliau meninggalkan Seri Mutiara kira-kira pukul 8.33 pagi. 

Turut memasuki kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar. 

Di Kuala Terengganu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri berkata, beliau telah mempersembahkan cadangan tersebut sewaktu menghadap Sultan Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Chendering, di sini semalam. 

“Alhamdulillah, apa pun kita tunggu dokumen disahkan dan ditandatangani Kebawah Duli (Sultan Mizan).

 “Kemudian baru saya akan keluar kenyataan (akhbar) berhubung pembubaran DUN,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Istana Syarqiyyah. 

Terdahulu beliau dilihat memasuki pekarangan Istana Syarqiyyah pada pukul 8.38 pagi sebelum keluar dari istana berkenaan kira-kira 40 minit kemudian. 

Setakat pukul 5 petang semalam, Ahmad Samsuri masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung pembubaran DUN Terengganu. 

Dua negeri iaitu Kelantan dan Selangor sudah membubarkan DUN masing-masing pada 22 Jun dan 23 Jun lalu, manakala Pulau Pinang dan Kedah pada hari ini serta Negeri Sembilan pula esok.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Pas berjaya merampas kerajaan negeri Terengganu selepas menguasai 22 kerusi DUN berbanding Barisan Nasional (BN) cuma 10 kerusi.

No comments:

Post a Comment