Translate

Friday, January 19, 2024

‘Alif boleh lemas kalau tak dipantau’

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

MARANG – Seorang suri rumah dari Wakaf Tapai di sini terpaksa menjadi ketua keluarga kepada empat orang anak selepas kematian suami akibat serangan jantung pada awal bulan ini.

 Surihan Ismail, 44, berkata, selain perlu memikirkan soal perbelanjaan rumah, dia juga perlu mengambil alih tugas arwah suaminya, Azmi Abdullah, 48, untuk menjaga seorang anak mereka yang kini terlantar sakit. 

Katanya, Mohamad Alif, 23, yang merupakan anak sulung terpaksa diberikan penjagaan rapi akibat strok berdarah yang dialami sejak lebih setahun lalu. 

“Selama ini, arwah suami yang banyak menguruskan penjagaan Mohamad Alif, tetapi kini dia sudah tiada dan saya perlu mengambil tanggungjawab itu. 

“Mohamad Alif yang merupakan pelajar Diploma Kejuruteraan Automatif Politeknik Kok Lanas, Kelantan terkena serangan strok berdarah sewaktu menjalani latihan praktikal pada Januari tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Perumahan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Wakaf Tapai di sini baru-baru ini. 

Surihan berkata, Mohamad Alif memerlukan penjagaan rapi dan perlu dipantau hampir 24 jam kerana anak lelakinya itu berisiko lemas sekiranya kandungan kahaknya terlalu tinggi. 

Tambah ibu kepada empat anak berusia 10 hingga 23 tahun itu, kahak anak sulungnya perlu kerap dikeluarkan menerusi leher yang telah ditebuk menggu nakan mesin khas.

 “Kos rawatan perubatannya seperti susu khas, lampin pakai buang, tisu basah dan tiub mencecah RM3,000 sebulan. 

“Ketiadaan suami secara tiba-tiba menyebabkan kami hilang punca pendapatan, anak kedua (Mohamad Afiq Izham, 21) pula tidak dapat bekerja kerana dia sahaja harapan untuk membantu saya menjaga abangnya,” katanya. 

Surihan berkata, kehidupannya kini bergantung kepada belas kasihan jiran-jiran sementara menunggu permohonan pencen arwah suami yang merupakan anggota FRU berpangkat koperal diluluskan.

 Jelasnya, mereka juga telah diberi ihsan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus menetap di kuaters Pangkalan Unit 6 FRU sehingga anak ketiganya, Mohamad Afi Akmal, 17, selesai menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada bulan Mac tahun hadapan.

 Dalam pada itu, orang ramai boleh menyumbang menerusi akaun bank milik Surihan bernombor 163037249860 (Maybank) atau menghubunginya di talian 010-7815090.

No comments:

Post a Comment