Translate

Saturday, January 20, 2024

‘Jangan pula peniaga caj lebih harga minuman, makanan’

KUALA TERENGGANU – Orang ramai berharap agar tiada pihak yang mengambil kesempatan daripada kenaikan tarif air melalui pelarasan bermula awal bulan depan sebaliknya meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan utiliti tersebut di negeri ini. 

Seorang pengguna, Ismail Abdul Rahman, 42, berharap kenaikan tarif air kelak tidak dijadikan alasan segelintir peniaga menaikkan caj minuman dan makanan. 

“Ikutkan tiada kena mengena kerana kenaikan ini hanya terhadap pengguna domestik, namun sudah jadi lumrah mesti terdapat segelintir peniaga mahu ambil kesempatan atas alasan kononnya kenaikan kos operasi. 

“Saya harap pihak berkuasa agar pantau dan ambil tindakan tegas sekiranya berlaku kelak,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Seorang lagi pengguna, Rafidah Mohd. Zaid, 38, berkata, dia mengharapkan kualiti perkhidmatan air haruslah dipertingkatkan seiring dengan kenaikan kos. 

“Kurangkanlah gangguan dan catuan bekalan air secara mengejut yang menyusahkan kami terutama pada musim perayaan selepas ini selain kualiti air yang keruh,” katanya. 

Rafidah juga berharap tambahan pendapatan yang bakal diterima operator, Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) nanti dapat digunakan untuk menaik taraf rangkaian paip penyaluran air yang uzur di negeri ini. 

Di Sungai Petani, penduduk Taman Sidam Kiri, Siti Hajar Harun, 47, berkata, kenaikan tarif air diharap dapat memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang diberi kepada rakyat selepas ini.

 “Kawasan perumahan ini telah dibelenggu masalah air sejak lebih 20 tahun lalu tanpa sebarang penyelesaian jangka panjang. 

“Saya akui kenaikan tarif air ini akan menambah lagi beban rakyat, namun jika usaha ini dapat membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan kami akur. 

“Jika kini perbelanjaan bulanan untuk bil air saya sekitar RM30 hingga RM40 sebulan, mungkin jumlah ini akan mencecah RM50 bulan depan,” katanya. 

Ujar Maisarah Ahmad Daud, 45, pula, kenaikan itu memang agak membebankan ketika kos sara hidup juga makin meningkat. 

“Saya harap kenaikan tarif air ini tidak sekadar memberi beban kepada rakyat, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk rakyat menikmati kualiti perkhidmatan air yang lebih baik,” ujarnya. 

Di Kuala Lumpur, seorang ibu tunggal, Siti Azmirah Mohd., 37, mula merancang strategi berjimat cermat bagi menangani kesan kenaikan tarif air yang bakal melanda tidak lama lagi. 

“Saya perlu bijak menguruskan penggunaan air harian. Saya akan pastikan anak-anak saya tahu betapa pentingnya menjimatkan air supaya kita dapat mengelak bil air yang lebih tinggi. 

“Ia akan membebankan penduduk lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai bilangan ahli keluarga ramai. Saya harap kerajaan dan syarikat konsesi dapat memberi perhatian khusus kepada kenaikan tarif ini," katanya.

No comments:

Post a Comment