Translate

Wednesday, January 24, 2024

IPT Terengganu kena kompaun RM25,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengeluarkan kompaun berjumlah RM25,000 ke atas pengurusan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini kerana menganjurkan konsert sehingga mencetuskan kontroversi baru-baru ini. 

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, siasatan mendapati konsert yang berlangsung pada 10 Jun lalu itu dilaksanakan tanpa permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Tiada permohonan permit dilakukan (kepada MBKT) bagi penganjuran konsert terbabit. 

“Tindakan akan diambil mengikut Undang-undang kecil, Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan MBKT 2002,” katanya di sini semalam. 

Kosmo! Online pada 14 Jun lalu melaporkan video memaparkan penganjuran konsert melibatkan pencampuran lelaki dan wanita di sebuah IPTA tular.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat kemudiannya mengarahkan siasatan berhubung penyebaran video terbabit di media sosial. 

Beliau juga kesal dengan penganjuran konsert berkenaan yang bertentangan dengan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu. 

Rosli berkata, notis kompaun tersebut akan diserahkan kepada pengurusan universiti terbabit dalam masa terdekat. 

Jelasnya, pengurusan IPTA terbabit diberi tempoh selama 14 hari untuk menjelaskan kompaun berkenaan. 

“Jika gagal membayar kompaun, tindakan seterusnya boleh diambil,” katanya.

No comments:

Post a Comment