Translate

Tuesday, January 16, 2024

Salahuddin stabil, ditidurkan tetapi masih kritikal

 KUALA TERENGGANU – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Diri, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mengalami pendarahan dalam otak kini semakin stabil walaupun keadaan masih kritikal. 

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, tahap kesihatan Salahuddin yang selamat menjalani pembedahan kelmarin sedang dipantau rapi oleh pasukan perubatan. 

“Alhamdulillah, pembedahan semalam (kelmarin) berjaya. Sama-sama kita doakan kesihatan beliau (Salahuddin), Insya-Allah kembali sihat. 

“Beliau masih berada dalam unit rawatan rapi (ICU),” katanya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, di sini semalam. 

Bagaimanapun, Zaliha enggan mendedahkan punca pendarahan otak menimpa Ahli Parlimen Pulai berkenaan. 

Media sebelum ini melaporkan Salahuddin dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah setelah mengalami mual dan muntah-muntah pada pukul 10.15 malam kelmarin. 

Beliau yang disahkan mengalami pendarahan dalam otak telah ditidurkan selepas selamat menjalani pembedahan di hospital tersebut. 

Dalam pada itu anak Saifuddin, Siti Fatihah berkata, atas nasihat doktor dan permintaan keluarga, hanya ahli keluarga sahaja dibenarkan melawat Salahuddin di HSB. 

“Saya mohon agar diberikan ruang kepada pihak keluarga sahaja untuk datang melawat.

 “Bagi pihak keluarga, kami menghargai segala sokongan dan doa. 

 “Saya juga mohon semua agar terus mendoakan keadaan ayah saya,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Terdahulu, Siti Fatihah memaklumkan, bapanya masih dalam penjagaan dan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan HSB.

No comments:

Post a Comment