Translate

Saturday, January 20, 2024

Gelombang ketiga banjir mulai esok

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Terengganu yang baru pulih banjir gelombang kedua pada kelmarin bersiap sedia untuk sekali lagi dilanda bah mulai esok. 

 Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Datuk Seri Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, berdasarkan ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan lebat beserta angin kencang dijangka melanda persisir pantai negeri ini bermula Jumaat hingga Selasa depan.

 “Ini ekoran daripada ribut Jelawat dari Filipina campur angin tropika yang akan membawa hujan yang agak berat (lebat). 

 “Kemuncaknya (hujan lebat dan angin kencang) pada 24 Disember dan 25 Disember ini,” katanya selepas menerima pek bantuan, Pakej Prihatin daripada Petronas di sini kelmarin. 

 Pada majlis itu, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli menyerahkan 1,500 Pakej Prihatin mengandungi barangan keperluan dan makanan yang akan disalurkan mangsa banjir Terengganu berada di pusat pemindahan banjir (PPS). 

 Tengku Farok Hussin berkata, berdasarkan taklimat MET Malaysia kelmarin, hujan lebat dan angin kencang akan melanda sepanjang 244 kilometer persisir pantai Terengganu selain tempiasnya boleh merebak ke kawasan pendalaman sepanjang tempoh lima hari sehingga Selasa minggu depan.

 Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri itu menambah, MetMalaysia juga memberi amaran impaknya boleh menyebabkan banjir besar seperti yang pernah melanda daerah Kemaman dan Dungun pada dua tahun lalu. 

 “Ini kemungkinan paling teruk, namun biasanya tempias ribut tersebut akan melemah sebelum menghampiri negara kita. 

“Apapun, MetMalaysia akan mengeluarkan makluman terkini dari semasa ke semasa. Kita telah bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya. 

 Tengku Farok Hussin berkata, beliau telah mengarahkan semua pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah agar memantau kawasan berisiko banjir. 

 Ujar beliau, penduduk yang berada di sepanjang persisir pantai Terengganu juga dinasihatkan sentiasa berwaspada dan memberi respon pantas atas setiap arahan pihak berkuasa. 

 Sebelum ini, Terengganu telah mengalami banjir gelombang pertama bermula 20 November lalu sebelum gelombang kedua pula berakhir kelmarin.

No comments:

Post a Comment