KUALA TERENGGANU – Gangguan bekalan air yang sudah membelenggu lebih 13,000 penduduk mukim Bukit Keluang, Besut sejak lebih setengah bulan lalu dijangka pulih sepenuhnya pada minggu depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu), Abdul Karim Endut berkata, kerja-kerja pembaikan paip pecah yang menjadi punca gangguan bekalan air itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tujuh hingga 10 hari lagi.
“Setakat ini, progres kerja-kerja pembaikan sudah mencapai 30 peratus. Paip ganti sudah ditempatkan di tapak pembaikan dan kerja-kerja pemasangan di dasar Sungai Besut sedang giat berjalan,” katanya.
Abdul Karim berkata, Satu juga telah mengambil langkah bagi mengatasi masalah tekanan air rendah di beberapa zon.
Tambah beliau, buat masa ini, bekalan air bersih sentiasa dihantar secara berkala bagi meringankan beban penduduk terjejas.
“Kami menyediakan 102 tangki statik dan 11 lori tangki untuk kegunaan penduduk terlibat. “Keutamaan bekalan air alternatif terbabit diberikan di premis-premis kritikal,” katanya.
Pada 2 Januari lalu, Kosmo! melaporkan paip di dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu di sini bocor sehingga menjejaskan 2,670 keluarga yang menetap di 11 penempatan di Bukit Keluang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kerja-kerja pembaikan paip yang pecah terbabit dijangka siap sepenuhnya pada 20 Januari depan.
No comments:
Post a Comment