Translate

Sunday, January 28, 2024

REE, SPRM akan panggil Sanusi dalam masa terdekat

KUALA NERUS – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam masa terdekat berhubung isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Sik, Kedah. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini, 12 saksi telah dirakam percakapan berhubung kes tersebut.

 “Setakat ini, kita juga telah menangkap dua individu dari MBI (Perbadanan Menteri Besar) Kedah dan syarikat swasta berhubung siasatan isu berkenaan. 

“Siapa sahaja berkaitan akan dipanggil (untuk membantu siasatan), beliau (Sanusi) juga akan dipanggil,” katanya pada program Cakna Rasuah bersama Media peringkat Zon Timur di sini semalam. 

Katanya, SPRM kini sedang mengesan beberapa individu dari China bagi membantu siasatan dakwaan rasuah dalam isu berkenaan. 

Saksi penting itu ujarnya, dikatakan membuat pelaburan perlombongan REE tersebut. 

Akhbar kelmarin melaporkan SPRM membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan isu perlombongan REE di Sik. 

Perlombongan bahan berkenaan dipercayai dilakukan secara tidak sah serta menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri Kedah. 

Azam berkata, SPRM melakukan siasatan terperinci berhubung aktiviti perlombongan REE itu termasuk surat didakwa ditandangani Sanusi yang tular di media sosial. 

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan, pembukaan kertas siasatan dakwaan rasuah dalam perlombongan REE di Sik itu tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

 “Ada PRN atau tiada bukan masalahnya. SPRM ini dalam apa juga isu rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan, kalau kita rasa merit untuk siasat, kita akan siasat, tidak kira bila.

 “Kalau orang menuduh (siasatan) kerana PRN, adakah perlu menunggu selepas PRN. Adakah adil?” katanya.

No comments:

Post a Comment