Translate

Thursday, January 25, 2024

Pusat Perubatan KMI Tawau dijenamakan semula

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU -  Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI) yang merupakan segmen penjagaan kesihatan Kumpulan TDM  Berhad melancarkan Pusat Perubatan KMI Tawau, Sabah yang merupakan cawangan kelima syarikat itu di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif KMI, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, pusat perubatan itu menguruskan operasi Hospital Pakar Tawau sejak tahun 2018 dan pada Mei tahun lalu, syarikat telah mengambil alih sepenuhnya hospital berkenaan.

"Sehubungan itu, ia telah dijenamakan semula sebagai Pusat Perubatan KMI Tawau bermula 7 Julai lalu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran tersebut yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan.

Rayney Azmi berkata, antara kemudahan perubatan ditawarkan Pusat Perubatan KMI Tawau ialah obstetrik dan ginekologi, ortopedik, pediatrik, anestesia, otorinolaringologi dan radiologi.

Tambah beliau, pusat perubatan itu juga menawarkan perkhidmatan pengimejan diagnostik,mamogram digital, pemeriksaan ultrasound dan X-ray am.

"Sebuah bangunan enam tingkat yang bakal menempatkan tambahan 59 katil juga sedang dibangunkan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun hadapan.

"Sebaik bangunan baharu itu beriperasi, perkhidmatan pesakit antarabangsa akan menjadi agenda baharu Pusat Perubatan KMI Tawau," katanya.

Rayney Azmi menjelaskan Pusat Perubatan KMI Tawau akan memberi fokus untuk meneroka sektor pelancongan kesihatan.

Jelas beliau, tumpuan diberikan kepada pesakit negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.

No comments:

Post a Comment