Translate

Thursday, January 18, 2024

Pasukan khas ditubuh pantau keselamatan anggota SAR

KEMAMAN – Pasukan penyelamat digerakkan di kawasan hulu jeram bagi memantau keselamatan anggota yang bertungkus -lumus mencari dua lagi mangsa kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, di sini semalam. 

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, pasukan diketuai seorang pegawai dan 10 anggota itu diletakkan di kawasan jeram berikutan berisiko berlaku semula kejadian kepala air di kawasan tersebut. 

 “Pasukan pemantau akan memberi isyarat dengan membunyikan siren yang panjang jika berlaku apa-apa kejadian tidak diingini seperti kepala air sebagai isyarat kecemasan kepada pasukan penyelamat lain. 

“Cuaca hari ini (semalam) hujan dan kita tidak tahu di kawasan hulu hujan lebat atau sebaliknya. Ia akan dipantau pasukan ini bagi memastikan keselamatan pasukan yang terlibat dalam operasi pencarian,” katanya ketika ditemui semalam. 

Azman berkata, selain cuaca yang tidak menentu, pasukan keselamatan yang bertugas di sektor A iaitu di lokasi kejadian juga berdepan dengan risiko binatang buas berikutan kawasan berkenaan berdekatan hutan simpan. 

Beliau memberitahu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan kawasan itu dihuni haiwan liar seperti harimau, gajah dan beruang. 

Kosmo! sebelum ini melaporkan 10 individu termasuk sembilan beranak hilang selepas dihanyutkan kepala air sewaktu berkhemah di Jeram Mawar pada Sabtu minggu lalu. 

Setakat ini, lapan mayat mangsa iaitu Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta enam anak mereka telah ditemui. 

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan semalam dan kelmarin. 

Dua lagi mangsa yang belum ditemui ialah Putri Nor Fatin, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24. Muhammad Fikri ialah tunang anak Azizah, Putri Balqis Izzati.

No comments:

Post a Comment