Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tujuh pertuduhan memperkosa dan meliwat tiga anak perempuannya yang berusia sembilan hingga 13 tahun.
Lelaki berusia 38 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hakim Nooriah Osman.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa memperkosa anak keduanya yang berusia 12 tahun.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh pada bulan Mac dan Disember tahun lalu di sebuah rumah dalam daerah Kuala Nerus.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pertuduhan keempat dan kelima pula, lelaki itu didakwa memperkosa anak sulungnya berusia 13 tahun di lokasi sama antara bulan Oktober tahun lalu dan Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat sehingga 10 kali jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan iaitu melakukan persetubuhan luar tabii ke atas anak ketiganya berusia sembilan tahun di lokasi sama pada bulan Februari 2022 dan Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan. Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula pada 12 Julai depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
No comments:
Post a Comment